Hati-Hati Mencari Rezeki: Halalnya Dihisab, Haramnya Diazab

Ramai orang hari ini sanggup buat apa saja demi duit. Tak kira siang atau malam, penat atau tak, semua sanggup dilalui – asalkan dapat “cari makan”.

Tapi dalam keghairahan kita mencari rezeki, pernah tak kita berhenti sejenak dan tanya diri:

“Rezeki yang aku cari ni, halal ke haram?”

Kadang-kadang kita terlalu fokus kepada jumlah rezeki, sampai lupa nak semak dari mana datangnya dan ke mana ia dibelanjakan.

working farmer
Image from Unsplash

Rezeki Halal Dihisab

Rezeki yang halal, walaupun baik dan diberkati, tetap akan dihisab (diperhitungkan) di akhirat nanti.

Setiap sen akan ditanya:
  • Dari mana kita dapat?
  • Bagaimana kita urus?
  • Di mana kita belanja?
Walaupun halal, tak semudah itu kita terlepas. Semua akan dibuka satu persatu di hadapan Allah. Sebab itu kita diajar untuk berhati-hati dan bertanggungjawab dengan setiap rezeki yang masuk.

Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…” (Surah al-Baqarah: 172)

Rezeki Haram Diazab

Yang paling menakutkan — rezeki yang haram.

Kalau halal dihisab, maka rezeki haram pula akan membawa kepada azab.

Sesungguhnya seorang hamba yang memakan daripada sesuap rezeki yang haram ke dalam perutnya. Nescaya Allah SWT tidak akan memakbulkan doanya selama 40 hari dan setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya.

Bayangkan — kita bagi makan anak isteri dengan duit hasil menipu, riba, rasuah, atau curi hak orang lain. Kita sangka kita sedang ‘menyara’, tapi sebenarnya sedang membakar rumah tangga sendiri dengan api neraka.

Nabi SAW mengajar umatnya menjauhi perkara syubhat sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis;

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. (Hadis riwayat Tirmizi, No.1205)


Rezeki Itu Amanah, Bukan Hak Mutlak


Sebenarnya, rezeki dalam hidup kita bukan hak milik, tapi hak pakai. Kita hanya memegangnya sementara. Dan setiap sen itu adalah amanah.

Allah tak nilai banyak mana kita dapat. Tapi bagaimana kita usaha dan guna.

Bukan semua yang kaya itu diberkati. Dan bukan semua yang miskin itu terhimpit. Apa yang paling penting dalam rezeki ialah keberkatan — bukan jumlahnya.


Usaha Itu Ibadah, Tapi Mesti Dengan Cara yang Halal

Bekerja siang malam, berniaga penat lelah, semua itu adalah ibadah jika niat dan caranya betul. Tapi kalau kita abaikan halal haram, ibadah itu boleh jadi sia-sia.

Contoh mudah:
  • Menjual barang tiruan → haram.
  • Menipu pelanggan demi untung lebih → haram.
  • Ambil hak orang tanpa redha → haram.
  • Beri rasuah atau terima komisen gelap → haram.

Rezeki haram mungkin nampak cepat dan banyak, tapi tak akan pernah tenang dan berkat. Lambat-laun, ia akan ‘makan tuan’.

Berdoalah Untuk Rezeki yang Bersih dan Diredhai

Setiap hari, jangan lupa minta pada Allah:

"Ya Allah, kurniakan aku rezeki yang halal, bersih dan berkat. Jauhkan aku daripada sumber rezeki yang haram, syubhah dan menzalimi orang lain."

Biar sikit, asal berkat.

Penutup

Rezeki yang halal dan berkat akan membawa kita dekat dengan Allah. Rezeki yang haram akan menjauhkan rahmat dan membawa murka-Nya.

Ingatlah: Rezeki yang halal tetap akan dihisab, tetapi rezeki haram terus membawa kepada azab. Maka hati-hatilah dalam mencari rezeki.
Kerana dalam rezeki kita, ada ujian. Dan dalam rezeki yang kita belanjakan, ada hisab yang menanti.


Lebih lamaPaling Baru

Catat Ulasan