Header Ads

Tulis Azam Kehidupanmu

Assalamualaikum
Bismillah

Perjalanan kehidupan ibarat jalan sehala, hanya bergerak ke hadapan, tidak ke belakang. Seandainya masa boleh diputar kembali, pastinya ramai yang ingin mengulangi usia hidup mereka, supaya dapat menebus kembali kekesalan, kesilapan dan kelemahan silam.

Tulis azam kehidupan

Namun hakikatnya, masa tidak boleh di‘patah-balik’. Detik-detik masa, tetap akan maju ke hadapan. Usia kita akan sentiasa meningkat, saban tahun, saban bulan, hari dan detik. Kita semua semakin tua, bukan sebaliknya. Usia muda akan kita tinggalkan, jauh ke belakang, dan kenangan silam semakin meninggalkan kita.

Justeru, adalah mustahil untuk kita mengulangi detik dan masa silam dengan tujuan untuk mengubah kisah dan sejarah silam. Yang perlu kita lakukan adalah menerima kisah silam, dan membina kehidupan seterusnya dengan perjalanan kehidupan yang telah kita lalui.

Persoalannya, bagaimana kita mahu membaiki diri? Apakah caranya kita ingin menebus dosa dan kesilapan lalu? Masihkah ada ruang untuk kita menukar sejarah hidup silam kita, dengan catatan yang lebih baik?

Jawabnya: Ya!

Tulis Bab Baharu

Jika kehidupan diibaratkan sebuah buku, anggaplah bab-bab terdahulu sudah berlalu, dan kita perlu mula menulis bab-bab baharu dalam kehidupan kita. Andainya kehidupan ini ibarat filem atau drama, maka babak-babak terdahulu sudahpun ditayangkan, maka yang ada hanyalah babak-babak mendatang yang akan digelongsorkan dalam layar kehidupan.

Menulis kembali bab silam adalah mustahil, tetapi merancang dan menulis bab-bab mendatang adalah suatu yang masih diizinkan dan dalam jangkauan kudrat dan iradah kita. Kita masih berupaya merangka dan menentukan catatan kehidupan yang kita inginkan untuk masa mendatang. Plot dan skrip babak-babak kehidupan kita untuk hari-hari mendatang, masih dalam kawalan dan arahan kita. Terpulang kepada kita untuk mencorakkan kehidupan kita yang bakal mendatang.

Mulakan Sekarang

Jika buku dan drama dimulakan dengan penulisan, maka mengapa tidak kita mula menulis jalan kehidupan yang mahu kita kecapi pada hari muka? Sepertinya seorang penulis yang menghasilkan novel atau buku yang indah, atau skrip drama dan filem yang menarik, maka mengapa tidak kita menentukan corak dan laluan kehidupan yang indah yang mahu kita terokai?

Maka, tulislah azam kita. Azam ibarat rangka bab dalam buku, atau rangka plot drama yang mahu kita hayati. Tulislah keazaman dengan penuh dedikasi, bersungguh-sungguh dan teliti, kerana tulisan itu akan menjadi “master-plan” kita pada hari mendatang. 

Lupakan ketewasan dan kegagalan silam, dan jadikan sebagai sempadan kehidupan yang akan kita lalui. Gariskan azam baharu untuk menempuh kehidupan dengan lebih baik dan menggapai redha Ilahi. Apabila telah berazam, maka teruskan perjalanan kehidupan ini.

No comments

Powered by Blogger.