Kit Ujian Kendiri COVID-19 (Ujian Air Liur)

ujian air liur di rumah

Kit Ujian Kendiri COVID-19 (Ujian Air Liur)

Selain ujian saringan RT-PCR untuk mengesan jangkitan COVID-19, terdapat satu lagi kaedah pengesanan COVID-19 terbaharu iaitu ujian air liur secara kendiri.

Apakah kelebihan ujian saringan air liur ini dan bagaimanakah untuk melakukannya?

Ujian air liur, lebih pantas dan lebih murah!

Kit Ujian Kendiri COVID-19 atau lebih mudah dikenali dengan nama ujian air liur ini merupakan satu kaedah pengesanan jangkitan COVID-19 yang dijalankan secara kendiri.

Dalam erti kata yang lebih mudah, anda tidak perlu hadir ke klinik dan melakukan ujian saringan yang mungkin mengambil sedikit masa.

Namun, ujian saringan air liur ini tidak sesekali menggantikan fungsi diagnostik real time reverse-transcription polymerase chain reaction atau RT-PCR.

Ujian saringan air liur ini bertujuan untuk mendapatkan status jangkitan dengan lebih pantas, mudah dan murah sebelum melakukan ujian RT-PCR sekiranya disahkan positif COVID-19.


Siapakah yang disarankan untuk ambil ujian air liur ini?

Kit Ujian Kendiri COVID-19 ini boleh digunakan oleh mana-mana individu yang ingin mendapatkan status jangkitan COVID-19 yang terkini.

Selain itu, ia juga disarankan bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang telah disahkan positif jangkitan COVID-19.

Kit ini juga amat sesuai digunakan bagi tujuan saringan-saringan lain seperti saringan bagi tujuan rentas negeri, saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, saringan prapekerjaan dan lain-lain lagi.

Bagi mereka yang bergejala atau berisiko tinggi, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menggalakkan anda untuk segera menjalani ujian saringan air liur ini dan seterusnya melaporkan hasil ujian menerusi aplikasi MySejahtera.

Ini kerana, pengesanan awal jangkitan melalui penggunaan ujian kendiri boleh membantu diri kita untuk memantau status kesihatan semasa selain mengurangkan kes-kes kematian akibat jangkitan COVID-19 yang tidak disedari.

Untuk memastikan anda mendapat Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang berkualiti dan sah, anda mestilah menggunakan kit ujian yang telah mendapat rekomendasi daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Ini kerana, kit ujian yang telah mendapat kelulusan MDA ini telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak MDA.

Antaranya ialah:
  • Pengeluar kit ujian telah melaporkan bukti prestasi klinikal dan analisis
  • Hasil ujian penilaian daripada fasiliti ujian adalah mengikut kriteria penilaian jawatankuasa yang ditetapkan oleh panel pakar klinikal
  • Mempunyai dokumen-dokumen sokongan untuk kelulusan bersyarat daripada MDA
ujian air liur du rumah

Berikut ialah jenama-jenama kit ujian air liur yang telah mendapat kelulusan daripada pihak MDA (*kemas kini sehingga 16 September 2021).

  • Salixium-COVID-19 Rapid Antigen Rapid Test (Saliva/ Nasal Swab Samples)
  • Gmate® COVID-19 Ag Saliva for Home Use
  • BERIGHT-COVID-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid)
  • ALLTest COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid)
  • JusChek COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid)
  • Longsee 2019-nCoV Ag & Influenza A/B Rapid Co-Detection Kit (Immunochromatography) Home based Use
  • Sichuan Xincheng SARS-CoV-2 Antigen Assay
  • Flowflex™ SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test (Self-testing)
  • STANDARD™ Q COVID-19 Ag Saliva Home Test
  • ProDetect™ COVID-19 Antigen Rapid Self-Test (Saliva)
  • NEWGENE Bioengineering COVID-19 Antigen Detection Kit
  • Lituo COVID-19 Antigen Detection Kit (Colloidal Gold) Self Test Kit
  • GRUENBANKA SARS-CoV-2 Antigen Detection Kit (Colloidal Gold Method)
  • Humasis COVID-19 Ag Home Test (Self-Test)
  • LYHER® Novel Coronavirus (COVID-19) Antigen Test Kit (Colloidal Gold)
  • ALLTEST COVID-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid)
  • Beright™ SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test (Nasal Swab) For Self-testing
  • Roche SARS-CoV-2 Antigen Self-Test Nasal

Di manakah saya boleh mendapatkan kit ujian kendiri ini?

Kit ujian saringan air liur ini kini boleh didapati di farmasi-farmasi berdekatan atau fasiliti kesihatan swasta.

Anda tidak perlu berasa risau dengan harganya kerana Kerajaan Malaysia telah menetapkan harga siling bagi kit ujian saringan kendiri ini.

Bagi harga borong, harganya ialah RM16.00 seunit. Manakala bagi jualan runcit, harganya ialah RM19.90 seunit.


Jangan lakukan 5 perkara ini sebelum ujian saringan air liur

Memandangkan kit ujian air liur ini amat sensitif, maka cara atau teknik yang kurang tepat boleh mempengaruhi hasil ujian sehingga menyebabkan keputusan ujian yang tidak tepat.

Oleh itu, untuk memastikan anda mendapat keputusan yang tepat, pastikan anda lakukan lima teknik ini satu jam sebelum menjalani ujian:

  • Jangan memberus gigi atau berkumur dengan menggunakan pencuci mulut.
  • Jangan makan atau minum.
  • Tidak merokok atau menghisap vape.
  • Jangan mengunyah gula-gula getah.
  • Berkumur untuk mengeluarkan sisa makanan dan minuman yang diambil sebelum ini.

Kesimpulan

Perlu diingatkan bahawa, ujian saringan ini hanyalah bertujuan sebagai pengesanan awal sahaja dan ia perlu disahkan dengan lebih tepat melalui ujian RT-PCR.

Ia bukanlah ujian diagnostik utama bagi pengesahan jangkitan COVID-19.

Sekiranya ujian saringan menunjukkan hasil positif, anda perlu melakukan ujian RT-PCR bagi mengesahkan hasil ujian anda.

Jangan lupa untuk laporkan sebarang hasil ujian COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera untuk tindakan lanjut pihak KKM.



Post a Comment

0 Comments