Header Ads

10 Tempat Menarik Di Ranau Anda Wajib Kunjungi


Assalamualaikum. Aku harap semua baik-baik saja sepanjang PKP ni.

Hari ni aku nak cerita pasal tempat-tempat menarik yang ada kat Ranau. Sebenarnya Ranau ni banyak sangat tempat menariknya. Memang tak cukup sehari kalau nak tengok semua tempat. Hanya lebih kurang dua jam perjalanan kalau dari Kota Kinabalu, kita dah boleh terokai banyak tempat. Ok. Mari tengok antara 10 tempat menarik di Ranau yang anda wajib kunjungi.

1. Desa Cattle Dairy Farm


Kalau pergi Ranau, kebanyakan orang memang tak akan lepaskan peluang untuk pergi tempat ni. Pemandangan hijau dengan baka-baka lembu dari New Zealand dan suhu yang sejuk sudah cukup untuk buat korang rasa macam dekat overseas. Selain dapat tengok lembu, kita boleh melihat sendiri proses pemerahan susu lembu, memberi makanan kepada anak lembu dan kambing dan bermacam aktiviti lagi.

Dan jangan lupa, korang mesti rasa susu segar, aiskrim dan yogurt yang ada kat tempat ni. Sambil-sambil makan, boleh tengok pemandangan cantik dan ambik gambar.

• Alamat: Desa Fairy Farm, Mesilau (https://goo.gl/maps/JK4Rri6DpEFEiDXe9)
• Harga Tiket: Dewasa RM5, Kanak-kanak RM4
• Waktu Operasi: 8am- 5pm

2. Kolam Air Panas Poring


Kolam air panas ni sudah tentu jadi tumpuan utama selain Desa Farm. Cuaca agak sejuk di Ranau jadi boleh mandi air panas di kolam ni. Selain dapat segarkan badan dengan berendam di kolam, boleh lawat tempat lain yang ada kat sini. Contohnya, Butterfly Farm, Canopy Walk, dan boleh tengok waterfall yang ada kat sini. Kalau nak mandi sahaja, mereka juga ada sediakan kolam tertutup untuk mandi kalau lebih suka privasi.

• Alamat: 89300 Ranau, Sabah, Poring Hot Spring (https://g.page/poring-hot-spring-ranau-sabah-?share)
• Harga Tiket: Dewasa RM3, Kanak-kanak RM1
• Waktu Operasi: 7am- 6pm

3. Kundasang War Memorial


Kalau nak tahu, tempat ni dibina untuk mengingati peristiwa sewaktu Perang Dunia Ke-2 iaitu peperangan banduan-banduan Australia, British dan masyarakat tempatan. Kat tempat ni, ada 4 taman berbeza termasuklah Taman Australia, Taman Inggeris, Taman Borneo dan Taman Renungan. Kat tempat ni, korang akan rasa nostalgia dan buat kita bersyukur sebab kita hidup selepas perang selain berpeluang tengok pelbagai jenis tumbuhan dari Sabah.

• Alamat: 90 Km, Jalan Kundasang Kauluan, Kundasang, 89300, Ranau (https://goo.gl/maps/fQALv7RfCM8pcgHi9)
• Harga Tiket: Warganegara RM2, Bukan Warganegara RM10
• Waktu Operasi: 8.30am- 5.30pm

4. Arnab Village


Selain tengok lembu, korang berpeluang juga untuk jenguk kampung arnab yang ada kat Ranau ni tau. Arnab-arnab kat tempat ni kebanyakannya jinak jadi korang boleh belai dan bagi makanan. Harga masuk pun berpatutan, dan korang boleh stay selama mana yang korang nak.

• Alamat: Kg Purakagis, Ranau, Sabah (https://g.page/Arnabvillage?share)
• Harga Tiket: Dewasa RM3, Kanak-kanak RM2
• Waktu Operasi: 9am- 5pm


5. Mesilou Cat Village


Kalau korang ni seorang cat lover, korang wajib pergi tempat ni. Tempat ni dekat dengan Desa Cattle Farm, jadi sebelum singgah kat tempat lain, boleh pergi tempat ni dulu. Kat sini, boleh jumpa pelbagai jenis baka kucing yang mungkin tak pernah dilihat. Kalau nak kucing datang dekat, boleh beli makanan yang mereka sediakan kat sana. Selain ambik gambar dengan kucing, korang boleh terokai sekeliling Cat Village yang yang cantik dengan hiasan dan tempat bermain untuk kucing.

• Alamat: Mesilou Cat’s Village, Kampung Mesilou, 89308 Kundasang, Sabah (https://goo.gl/maps/E8H6ZnVS4Bxsxq2JA)
• Harga Tiket: Dewasa RM4, Kanak-kanak RM3
• Waktu Operasi: 8am- 5pm

6. Rumah Terbalik Tamparuli


Kalau korang nak rasa macam mana berada di dunia yang terbalik, korang mesti singgah kat tempat ni. Kalau pertama kali masuk, mesti akan rasa lain dan takjub pada masa yang sama. Semua yang ada kat rumah ni dalam keadaan Terbalik kecuali badan korang.

• Alamat: Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli 89250 (https://goo.gl/maps/UEBHwqGwqk4sT7AT8)
• Harga Tiket: Dewasa RM12.70, Kanak-kanak RM5.30
• Waktu Operasi: 7am- 7pm

7. Puncak Borneo Resort


Tempat ni pun boleh jadi salah satu tempat persinggahan untuk lihat pemandangan Gunung dari kawasan puncak. Kalau dah penat kesana kemari, boleh singgah kat tempat ni kejap dan ambik udara segar sebelum sambung perjalanan lagi.

• Alamat: KM 86.3, Jalan KK-Ranau | Simpang Kg. Bundu Tuhan, Ranau (https://goo.gl/maps/z5vbpng8aM8DdcJW8)

8. Kundasang Mount Valley Recreation


Dekat sini, korang berpeluang untuk buat aktiviti seperti memanah, flying fox dan The B.E Wonderland. Kalau dah sampai sini dan berminat nak buat aktiviti flying fox sepanjang 125 meter ni, korang mesti bawa bersama GoPro untuk ambik video berada di udara. Dekat The B.E Wonderland tu, banyak yang korang boleh nampak, termasuklah Magic Mirror, Sabah Custom, Gallery dan banyak lagi. Jadi kalau dah sampai sini, mesti buat tiga-tiga aktiviti ni.

• Alamat: Kundasang Mount Valley Recreation And Resort, 89300 Kundasang, Sabah (https://goo.gl/maps/DaDXZ9PUD7m3Q9LZA)
• Harga Masuk: RM25
• Waktu Operasi: 8am- 6pm


9. Pekan Ranau


Alang-alang dah singgah Ranau, jadi korang mesti jejakkan kaki kat Pekan Ranau ni. Selalu orang akan singgah pekan ni untuk berehat sebentar selepas jauh perjalanan dari Kota Kinabalu atau dari tempat tinggal. Memang tak menang tangan lebih-lebih lagi kalau bawa budak-budak. Jadi, sebelum teruskan perjalanan, boleh singgah Pekan ni untuk berehat.

• Alamat: Pekan Ranau, Ranau, Sabah (https://goo.gl/maps/tN29b1iTr1Soccd4A )


10. Gerai Sayur Segar Pekan Kundasang


Ada sesetengah orang datang Ranau ni sebab nak beli sayur dan buah-buahan segar. Untuk itu, korang boleh singgah gerai ni sebagai lokasi terakhir sebelum balik ke rumah. Kalau korang berniat nak bermalam kat Ranau, korang boleh juga singgah tempat ni beli sayur-sayuran untuk dimasak masa makan malam. Dengan sayur dan buah yang segar tanpa racun serangga, mesti rugi kalau tak beli!

• Alamat: Gerai Sayur-sayuran, Pekan Kundasang (https://goo.gl/maps/76KhTLXbmpsi6YmP6 )

Baiklah, selesai sudah senarai pendek untuk tempat-tempat menarik di Ranau. Sebenarnya, banyak lagi tempat lain yang tak dimasukkan dalam senarai. Sekarang mungkin perjalanan ke Ranau agak tersekat dengan keadaan PKP yang bersambung-sambung. Mungkin, lepas ni kalau keadaan makin baik, kita boleh jalan-jalan lagi kat Ranau. In Sya Allah..

No comments

Powered by Blogger.